PAS KAWASAN PARLIMEN LIPIS

Maklumat terkini daripada Parti Islam Se Malaysia kawasan parlimen Lipis

Pengaruh Islam tidak lagi hantui BN ?

Posted by paslipis on 20 May 2009

“Abah, Ngah jumpa nama abah dalam internet”, beritahu anak kedua saya baru-baru ini. “Ya ke ?”, tanya saya untuk dapatkan kepastian. “Ya, Ngah jumpa semasa masukkan nama abah menerusi Google Search”, katanya lagi yang agak meminati IT. Yang dimaksudkan oleh anak saya itu ialah carian internet berhubung buku kecil yang pernah saya susun berjudul “Islam Hadhari: Tak Nak !”.

Era Pak Lah baru sahaja berlalu. Tanpa disangka cucu seorang ulama’ telah mengemukakan gagasan agama yang tidak tepat. Saya tidak perlu lagi ulas. Buku Tuan Guru Hj A. Hadi Awang bertajuk “Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari” telah pun memberikan jawapan. Islam hadhari dikemukakan oleh Pak Lah ketika itu kerana mahu menarik perhatian rakyat bahawa Islam ada tempat dalam kerajaan Be End (BN). Dalam masa yang sama, mahu menyaingi pengaruh PAS yang mahu mendaulatkan Islam.

Sebelum itu, dalam menghadapi era kebangkitan semula Islam, Dr M turut mengemukakan beberapa slogan dan dasar mengenai Islam. Penerapan nilai-nilai Islam yang dijaja, telah berjaya memerangkap beberapa tokoh besar termasuk bekas presiden ABIM untuk menyertai umno. Kononnya, nak cuci umno dari dalam. Akhir sekali, turut terpalit dengan kekotoran tersebut dan ditendang keluar dalam keadaan yang sangat busuk. Baca kembali buku SHIT luahan rasa Shahnon Ahmad.

Dalam era pemerintahan yang panjang itu, Dr M telah membina Pusat Islam, Universiti Islam dan Bank Islam. Slogan Bersih, Cekap & Amanah dan Kepimpinan Melalui Teladan telah dikemukakan untuk mempromosikan bahawa kerajaannya adalah kerajaan Islam. Kemuncaknya, Dr M umumkan bahawa  Malaysia sebagai sebuah negara Islam semasa berucap dalam satu majlis anjuran parti komponen. Bagi Dr M, pengaruh Islam yang dibawa oleh parti lawan perlu disekat bagi menjamin kesinambungan pemerintahannya.

Fobia umno terhadap kebangkitan Islam bukan perkara baru. Semenjak belum merdeka lagi, telah disebutkan tentang `bahaya dari gunung’. Mereka begitu takut dengan kebangkitan semula Islam yang berpusat di Gunung Semanggol, Perak ketika itu. Lantas pemimpinnya ditangkap dan pertubuhan itu diharamkan.

Sebagai pelengkap kepada teori RAHMAN, ditabal PM ke 6 untuk meneruskan kerajaan BN yang kini tanpa majoriti 2/3 di parlimen. Seperti PM terdahulu, DS Najib pun mengemukakan slogan pemerintahannya. Bagi Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, slogan itu sebagai alat untuk menaikkan imej dan membina reputasi. “1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, begitulah rangkap slogan tersebut.

PM ke 6 belum lagi membuat penegasan tentang agenda Islam yang ingin dibawa. Cuma dilaporkan bahawa JAKIM akan menerangkan konsep 1 Malaysia dari perspektif Islam. Persoalannya, adakah pengaruh Islam kini tidak lagi menghantui BN ?. Mungkinkah dalam era `PAS for All’ sekarang, BN tidak mahu lagi memperalatkan Islam. Atau, adakah ini adalah sebahagian daripada politik baru yang sedang melanda negara ini ?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: